Bekas jaguh bina badan negara, Sazali Samad, mendakwa dia tidak melanggar peraturan penggantungan kes doping apabila menyertai Kejohanan Bina Badan Pertunjukan Fearless di Shanghai, China, di atas jemputan peribadi untuk muncul juara kategori 75kg, kelmarin.

Tindakan Sazali itu mengundang persoalan memandangkan dia masih dalam proses penggantungan ekoran kes doping pada 2014.

Sazali pulang ke tanah air selepas menjuarai kategori 75kg di Shanghai itu yang merupakan penampilan sulung dan kejayaan pertamanya sejak digantung empat tahun ekoran positif steroid pada 2014.

"Saya sudah menjalani penggantungan hampir tiga tahun. Selain itu, rayuan saya pernah ditolak.

"Beberapa kali saya cuba menghantar surat (rayuan) termasuk kepada (bekas) Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, tetapi tiada maklum balas. Oleh itu, saya perlu berbuat sesuatu.

"Lagipun, saya mendapat tawaran ini daripada rakan baik saya di Jepun. Mereka menghantar surat jemputan dan menasihati saya supaya melakukan sesuatu dengan menyertai pertandingan tanpa mewakili mana-mana persatuan.

"Terlalu banyak kejohanan besar di China dan saya berasakan ini titik permulaan untuk mencipta semula nama saya.

"Peminat nak tengok macam mana Sazali kembali. Alhamdulillah saya berjaya membuktikannya kategori 75kg di sana.

"Ini titik permulaan saya pada 2018 ini," katanya.

Dalam masa sama, Sazali bertekad untuk menyertai kejohanan seterusnya dalam masa terdekat.

"Insya-Allah, mungkin ada kejohanan kedua selepas ini yang akan saya sertai. Saya akan mempersiapkan diri selepas berhari raya.

"Saya perlu menjaga sistem pemakanan, itu paling penting buat saya," katanya lagi.