Bekas Mr. Universe, Sazali Samad, menyatakan kekecewaan selepas menerima layanan buruk dan diberi penggantungan tambahan empat tahun sehingga 2023.

Dia berada di persimpangan sama ada memikirkan tugas bersama negara dan mengutamakan nafkah buat keluarganya.

Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) sebelum ini mendapati Sazali bersalah kerana menyertai Kejohanan China Sport Show Fearless Bodybuilding Physique & Bikini di Shanghai ketika masih menjalani penggantungan empat tahun ekoran kes doping, sekali gus membuatkan hukuman itu dilanjutkan empat tahun lagi sehingga 2023.

Bagaimanapun, sebelum itu, Sazali juga menyatakan rasa kecewa dengan layanan yang diberikan oleh MBBF sepanjang tempoh hukumannya dan turut menjelaskan bahawa dirinya tidak mahu mengikut arahan badan induk itu selepas ini dan akan bergerak secara individu.

"Hukuman yang dikenakan oleh MBBF ini seolah-olah menunjukkan mereka menyimpan perasaan dendam terhadap saya. Namun, ia tidak mematahkan semangat saya. Apabila sudah menyertai satu kejohanan, saya akan teruskan.

"Mereka tampak tidak memikirkan segala jasa dan pengorbanan saya selama ini.

"Kini, saya hanya mengharapkan mereka agar membantu atlet-atlet dan tidak bersikap pilih kasih. Dalam masa sama, MBBF juga perlu disiasat kerana bagi saya, wujud elemen yang salah dalam kalangan mereka," kata Sazali.

Dia juga memberitahu sudah memberi penjelasan kepada MBBF dengan menegaskan penyertaannya dalam kejohanan berkenaan atas pembiayaan sendiri, secara individu dan tidak mewakili mana-mana persatuan selain mendapat jemputan ke sana.

"Sebenarnya, saya bukanlah terlalu mahu menyertai saingan profesional. Sebaliknya, saya lebih banyak melibatkan diri dalam saingan terbuka dan jemputan.

"Selepas ini, saya akan meneruskan kehidupan seperti biasa, menjaga kesihatan dan mengharungi proses latihan seperti sebelum ini.

"Mungkin saya akan mengadakan kerjasama dengan pihak dari negara China, seperti memberikan ceramah dan menyediakan bengkel di sana. Paling penting, terus mencari duit untuk membesarkan anak-anak saya," katanya lagi.