Bekas jaguh bina badan negara, Sazali Samad, berharap juara tiga kali Mr Universe, Syarul Azman Mahen Abdullah, terus cekal berdikari andai ingin terus mencipta nama di pentas dunia walaupun tanpa bantuan daripada Majlis Sukan Negara, (MSN).

Jelas Sazali, dia juga pernah mengharungi tempoh yang amat mencabar sebelum akhirnya meraih gelaran Mr Universe sebanyak 10 kali.

Harus berpijak di bumi nyata, atlet berusia 52 tahun itu enggan Syarul berputus asa untuk terus berusaha mengecapi kejayaan walaupun hakikatnya sukar untuk mendapat bantuan memandangkan sukan itu tiada dalam sistem berperingkat MSN.

Sebelum ini, Syarul yang juga merupakan juara empat kali Mr Asia mengharapkan MSN mempertimbangkan bantuan kepadanya untuk meneruskan persiapan bagi menghadapi Kejohanan Dunia dan Asia edisi tahun ini.

"Bukan semua orang boleh layan sukan ini.

"Untuk lebih berjaya, Syarul perlu teruskan usaha walaupun berdepan kekangan kewangan.

"Saya, misalnya, selepas mencapai gelaran terbaik Asia atau dunia, barulah ada peruntukan daripada MSN," kata Sazali.

Sazali ketika ini masih giat berlatih untuk mempersiapkan diri bagi menyertai mana-mana kejohanan jemputan antarabangsa tahun ini walaupun masih dalam tempoh pergantungan sehingga 2023 ekoran positif doping.

"Saya meneruskan kehidupan dan latihan seperti biasa.

"Saya perlu jaga penampilan dan kesihatan," katanya.