Jurulatih Pasukan Hoki Terengganu (THT), Sarjit Singh, boleh menarik nafas lega apabila kejayaan mempertahankan Piala TNB mencerahkan lagi peluangnya untuk melanjutkan kontrak yang akan tamat bulan depan.

Sarjit berjaya mengekalkan reputasi THT sebagai gergasi hoki Malaysia selepas menumbangkan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), 5-4, menerusi penentuan pukulan penalti untuk mempertahankan kejuaraan itu.

Ia trofi kedua THT musim ini selepas menjulang Piala Tan Sri P. Alagendra, bulan lalu.

Kejayaan ini membuktikan Sarjit masih layak membimbing skuad itu walaupun kontraknya akan tamat bulan depan.

"Kejohanan ini semakin sukar kerana setiap pasukan mahu menjadi THT," katanya.

"Apabila setiap pasukan bermain dengan THT, mereka bermain berbeza. Komitmen dan usaha mereka sangat bagus."

Selepas ditanya mengenai masa depannya dengan pasukan itu, Sarjit berkata: "Ia bergantung kepada pengurus saya."

Sementara itu, pengurus THT, Zaki Mohd Noor, menjelaskan bahawa THT tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan jurulatih itu.

"Insya-Allah. Ia (kekalkan jurulatih) boleh diteruskan. Saya berpuas hati dengan kerjanya dan kami akan putuskan untuk tahun depan.

"Walaupun ada pembaharuan sedikit, pada tahun depan pasukan akan diperbaiki dengan lebih baik lagi," katanya.

Dalam perlawanan akhir Piala TNB di Stadium Hoki Tun Razak malam tadi, THT bangkit daripada ketinggalan 1-3 untuk mengikat kedudukan, 4-4.

Jang Jong Hyun mencipta hatrik sebelum Nicholas Enrique menyamakan kedudukan pada minit ke-57 untuk mengheret perlawanan ke penentuan pukulan penalti.

Penjaga gol, Mohd Hafizuddin Othman, muncul wira apabila menafikan percubaan Joel Samuel Van Huizen sementara THT menyempurnakan semua lima peluang mereka.