Pemain tengah Hertha Berlin, Sami Khedira, mengumumkan persaraannya daripada bola sepak sebaik musim 2020-21 berakhir.

Perlawanan terakhir membabitkan pemain berusia 34 tahun itu ialah menentang Hoffenheim dalam Bundesliga, Sabtu ini.

Khedira berkelana ke Hertha pada Februari lalu selepas lima setengah tahun bersama gergasi Serie A, Juventus, yang menyaksikannya memenangi lima gelaran Scudetto dan tiga trofi Coppa Italia.

Sebelum itu, dia menikmati kerjayanya selama lima musim di Real Madrid apabila meraih satu gelaran LaLiga dan Liga Juara-Juara pada 2013-14.

Dia membuat 77 penampilan buat Jerman dan merupakan anggota penting dalam skuad yang memenangi Piala Dunia 2014.




Khedira, yang memenangi Bundesliga bersama Stuttgart pada 2006-07, membuat hanya lapan penampilan untuk Hertha musim ini, dengan hanya tiga daripada dalam kesebelasan utama.

"14 tahun yang lalu saya berkesempatan meraikan kejuaraan bersama Stuttgart," katanya dalam sidang media.

"Ia adalah hari yang indah. Hari ini adalah hari yang sangat sukar bagi saya, memandangkan mahu memaklumkan bahawa kerjaya bola sepak saya akan berakhir pada hari Sabtu ini.

"Ia satu keputusan yang cukup perit dan sukar untuk saya luahkan, tetapi ia adalah satu keputusan yang tepat.

"Selama 15 tahun bergelumang dalam kancah profesional, saya telah meninggalkan jejak dan saya harus menilai dengan jujur ​​apa yang saya mampu dan tidak mampu lakukan.

"Pertama sekali, saya ingin menjauhkan diri dan berehat. Saya akan kekal dengan bola sepak dalam bentuk yang masih dapat dilihat."