Ketika sukan negara kembali meriah dengan kejohanan, renang bakal menyusul tak lama lagi apabila satu perbincangan telah diadakan untuk penganjuran kejohanan pertama pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Oktober depan.

Ia juga bakal menjadi kejohanan renang pertama di dunia sejak penularan COVID-19.

"Situasi kami lebih baik berbanding di sesetengah tempat yang masih lagi menjalani perintah kawalan pergerakan.

"Kami sudah melalui program ini sejak tahun lalu lagi, sebab itulah kami melakukannya selangkah demi selangkah.

"Kami menghadapi kesukaran untuk menyertai kejohanan jadi kami akan adakan pertandingan domestik selain mengintai kejohanan di luar negara yang membenarkan kami memasuki negara mereka.

"Kami perlu menghantar mereka ke kejohanan, bukan sahaja kerana motivasi malah untuk menilai tahap sebenar mereka," kata jurulatih negara, Chris Martin, di Bukit Jali hari ini.

Bagi Welson Sim, rasa teruja itu sudah pasti namun dia tetap realistik dalam sasarannya kerana tujuan utamanya bukanlah untuk bersaing secara kompetitif, sebaliknya lebih kepada mencari penanda aras bagi memantapkan lagi latihan menjelang Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

"Kejohanan ini menjurus untuk menilai catatan masa renangan kami bagi mengenal pasti tahap kami selepas mengikuti program 'Road to Tokyo (RTT)' beberapa minggu lalu.

"Kami akan beraksi secara kompetitif tetapi bukanlah bertujuan untuk memecahkan rekod, sebaliknya untuk mengekalkan tahap terbaik," kata jaguh renang negara itu.

Sementara itu, Khiew Hoe Yean menyatakan hasratnya untuk memperbaiki rekod peribadi dalam kejohanan renang yang bakal diadakan kelak.

"Saya sangat teruja untuk bertanding.

"Kalau saya dapat ulangi catatan terbaik, saya sangat gembira dan jika berkesempatan melakukannya dengan lebih baik lagi , ia akan menjadi satu bonus," katanya.