Kejohanan Borneo Sevens 2018 di Sandakan, Sabah pertengahan bulan ini bakal memberi bayangan awal 12 pemain yang akan membawa cabaran skuad ragbi tujuh sepasukan negara ke Sukan Komanwel Gold Coast.

Meskipun menyedari cabaran sukar menanti di Gold Coast, jurulatih skuad kebangsaan, Saizul Hafifi Mohd Noor, kekal dengan pendirian bahawa ia merupakan pengalaman berharga yang bakal diraih pemain negara.

Ia susulan siri jelajah ke Australia selama dua minggu pada bulan lalu banyak membantu memperbaiki kelemahan anak didiknya.

Ketika ini, 17 pemain berada dalam senarai untuk merebut 12 slot ke Gold Coast.

Di sana nanti, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Afrika Selatan, Scotland dan Papua New Guinea, dengan Saizul menyasarkan Malaysia mampu meraih kedudukan 12 terbaik keseluruhan.

"Beraksi di Australia, kami berdepan pasukan-pasukan yang berkualiti dan ia merupakan pengalaman yang sangat berharga," katanya.

Sementara itu, Saizul turut berharap kehadiran legenda New Zealand, Derek Jemie "DJ" Forbes dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pemain negara.

Forbes akan mengadakan kunjungan ke Malaysia hujung bulan ini sebelum menyertai pasukannya dalam Kejohanan Hong Kong Sevens.

"Ilmu yang bakal diperoleh ketika Forbes hadir adalah sesuatu yang tidak boleh dilepaskan dalam usaha meningkatkan mutu permainan pasukan."