Bekas juara dunia boling padang, Safuan Said, kembali untuk merampas semula tempatnya dalam skuad kebangsaan menjelang Sukan SEA 2017, selepas dua tahun berkelana di Australia.

Dia berhijrah ke Australia untuk menyertai Liga Perdana Melbourne selain turut menjuarai Terbuka Victoria, tahun lalu.

Namun, impian mewakili Malaysia tidak pernah padam dan dia kembali ke tanah air bagi menghadapi sesi pemilihan skuad kebangsaan menjelang temasya itu.

“Walaupun seseorang pemain itu berhenti bermain, untuk kembali ke tahap terbaik tidak sukar kerana kemahiran masih lagi ada.

"Sepanjang saya bermain di Australia, saya telah meraih beberapa kejayaan, saya boleh katakan prestasi saya masih berada di tahap yang baik,” katanya.

Safuan pernah mengecap beberapa gelaran dunia sebelum meninggalkan skuad kebangsaan pada 2014.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur ini dinobatkan juara remaja dunia 2005, juara dunia 2008 dan juara Piala Dunia pada tahun yang sama.

Jika gagal terpilih, dia akan kembali ke Australia menjelang musim baru Liga Perdana Melbourne, bermula 8 Oktober depan.

“Sukan yang disertai kontinjen yang besar, mana-mana atlet mahu beraksi di pentas ini, kerana ia memberikan satu semangat yang berbeza buat atlet.”