Sabah Eagles bersedia untuk menjadi antara pencabar dalam Kejohanan Ragbi Antarabangsa Borneo Tujuh Sebelah di Padang Kelab Ragbi Eagles, Sandakan, hujung minggu ini.

Bagaimanapun, laluan kelab ragbi dari Sabah itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana mereka bakal bersaing dengan sembilan pasukan lain, termasuk empat dari luar negara.

Bagi kejohanan edisi ke-14 itu, pengendali Sabah Eagles, Brad Mika, yang juga bekas pemain All Blacks, menyenaraikan 12 pemain terbaik mereka, termasuk beberapa pemain import.

Ketika dihubungi, Mika berkata pasukannya kini telah bersiap sedia bagi menghadapi kejohanan selama dua hari itu bermula Sabtu ini.

"Kami akan menampilkan gabungan pemain tempatan dan luar negara dalam kejohanan selama dua hari ini.

"Pasukan kini dalam keadaan baik dan kami akan cuba untuk mara ke separuh akhir atau sekurang-kurangnya suku akhir.

"Persiapan kami juga berjalan lancar, termasuk dua aksi persahabatan bertemu skuad ragbi tujuh sebelah negara serta pasukan NZ Borneo Eagles," katanya.

Tambah beliau, antara pasukan yang dijangka menyerlah dalam kejohanan kali ini, termasuk juara bertahan, NZ Borneo Eagles, skuad kebangsaan tujuh sebelah Hong Kong, Sri Lanka, serta kelab Tribe 7s dari Australia.

Lain-lain pasukan yang turut menyertai kejohanan berprestij itu ialah skuad kebangsaan Malaysia, Alabang Eagles (Filipina), skuad kebangsaan Singapura, Kelab Sukan Dinowin KL Bandaraya dan COBRA (Malaysia).

Dalam perkembangan lain, sebanyak tujuh pasukan wanita juga bakal berentap dalam kejohanan berkenaan, iaitu skuad kebangsaan Malaysia, Sri Lanka, Thailand, Singapura, Korea Selatan dan Eagles RFC (Filipina).