Pemenang dua kali acara 800 meter Sukan Olimpik, David Rudisha, terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Dunia Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) di London selepas mengalami kecederaan paha.

Pelari Kenya itu, yang turut memenangi pingat emas dalam saingan pada 2011 dan 2015, mahu kembali semula ke balapan susulan kejayaannya dalam Sukan Olimpik Rio tahun lalu, namun mengesahkan tidak akan menyertai saingan di London menerusi akaun Twitter miliknya.

“Sangat sedih dan menghampakan bahawa saya tidak akan beraksi dalam Kejohanan Dunia London 2017 akibat daripada kecederaan ketegangan otot paha,” kata Rudisha.

Dia memecahkan rekod peribadi yang juga rekod dunia pada tahun 2012 untuk memenangi pingat emas Sukan Olimpik London selepas mencatat masa 1 minit 41 saat.

Empat tahun kemudian di Rio de Janeiro, Rudisha muncul sebagai pelari pertama yang mengekalkan pingat emas acara 800 meter sejak tahun 1964, namun dijangka menghadapi saingan sengit daripada Emmanuel Korir dan Nijel Amos di London.

Kejohanan Dunia London 2017 akan bermula pada Jumaat dengan saingan 800 meter lelaki dijadualkan berlangsung sehari selepas itu.