Atlet pelayaran negara, Nur Shazrin Mohd Latif, berasa janggal apabila kembali menjalani latihan di bawah Program Road to Tokyo (RTT) yang bermula 1 Jun lalu.

Pelayar berusia 22 tahun itu memberitahu wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, bahawa dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri selepas tidak dapat berlatih sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

"Selepas tiga bulan tidak turun ke laut, dua kali saya terjatuh ke dalam air.

"Pertama kali saya dapat menaiki bot, terasa janggal sebab lama tinggalkannya," katanya.




Lantas, dia menetapkan perkara asas terlebih dahulu bagi memantapkan semula pelayarannya apabila berlatih di Kluster Jeti Kuah, Langkawi.

"Sekarang saya perlu fokus kepada mengemudi kapal, barulah kemahiran boleh kembali.

"Nak dapatkan rentak adalah sukar yang memerlukan kemahiran mengenai bot dan kawalan."