Valentino Rossi kembali beraksi hari ini dan masih berharap untuk menyertai Grand Prix (GP) Aragon pada awal pagi Isnin ini walaupun baru menjalani pembedahan pada dua tulang kakinya yang patah, tiga minggu lalu.

Penunggang Movistar Yamaha yang juga juara dunia tujuh kali MotoGP itu, mengalami kecederaan parah patah pada tulang tibia dan fibula pada kaki kanannya dalam kemalangan motocross pada 31 Ogos lalu.

Rossi menjalani pembedahan pada hari berikutnya, dan pada awalnya dia menjangkakan hanya terlepas perlumbaan di lamannya di Misano pada 10 September lalu dan di Sepanyol pada hujung minggu ini.

Tetapi yang luar biasa, Rossi kembali ke pelana pada hari ini, membuat beberpaa pusingan di sekitar Misano, sebelum cuaca buruk memendekkan sesinya. Pelumba Itali itu akan membuat keputusan pada Khamis ini sama ada dia akan turun beraksi di Aragon.

"Berikutan kemalangan pada 31 Ogos, Rossi berusaha gigih untuk pemulihannya akibat patah dua tulang di kaki kanannya," kata kenyataan Yamaha.

"Hari ini, juara dunia sembilan kali ini menguji kecergasannya dan berjaya melengkapkan beberapa pusingan di sekitar Litar Dunia Misano Marco Simoncelli dengan YZF-R1M, sebelum hujan mengganggu ujian itu.

"Sesi menunggang hari ini dipendekkan akibat perubahan cuaca, penilaian terhadap keadaan fizikal Rossi tidak dapat diputuskan.

"Dia akan membuat keputusan pada Khamis ini, sama ada dia akan mengambil bahagian dalam Gran Premio Movistar de Aragon pada hujung minggu nanti."