Bekas pelumba basikal negara, Rosman Alwi, menzahirkan kebimbangan terhadap masa depan sukan itu, terutama membabitkan perkembangan atlet wanita yang masih gagal menonjol di peringkat antarabangsa selain kekurangan pelapis untuk diketengahkan dalam jangka panjang.

Rosman, yang pernah mempunyai pengalaman selaku jurulatih berbasikal Kedah dari 2006 hingga 2014, menggesa pencarian bakat atlet berbasikal wanita yang lebih meluas perlu diadakan.

Melihat pada usaha yang dilakukan oleh Terengganu yang kini serius mengetengahkan bakat-bakat baharu, beliau berharap potensi sukan berbasikal tidak berkubur satu hari nanti selepas ketiadaan Fatehah Mustapha.

Rosman turut melihat keterbukaan masyarakat Malaysia hari ini yang tidak menghalang wanita untuk menceburi sukan berbasikal bagi memudahkan hasrat berkenaan.

"Seawal tahun 2018, kami perlu mencari bakat-bakat baru bagi sukan berbasikal," katanya.

Dalam masa sama, Rosman juga mahu melihat satu perubahan dalam program pembangunan pelapis dengan memberikan mereka lebih banyak pendedahan bersama atlet senior.

Baginya, itu cukup penting bagi mempercepatkan proses kematangan seseorang pelumba itu bersaing di peringkat lebih tinggi.

"Atlet-atlet muda perlu memiliki pengalaman di luar negara, ia akan segera mematangkan mereka," tambahnya.