Jurulatih penjaga gol skuad hoki wanita negara, Roslan Jamaluddin, mengharapkan kelibat Farah Ayuni Yahya mampu mengecilkan peluang pihak lawan daripada berpesta gol dengan mengelak sebarang kesilapan sama ketika pertemuan dengan Belgium berulang.

Menjelang pertemuan dengan New Zealand hari ini, Ayuni masih menggalas cabaran negara selaku penjaga gol utama.

Tegas Roslan, walaupun Ayuni sudah bolos sebanyak 15 gol daripada tiga perlawanan sebelum ini, ini bukan masa yang sesuai untuk dia berasa tertekan memandangkan ia adalah perkara biasa untuk pasukan yang pertama kali beraksi dalam kejohanan bertaraf dunia seperti ini.

"Kadang-kala gol tidak berpunca daripada kesilapan kita sendiri.

"Apabila bolos, pemain akan mula akan rasa kecewa tetapi selepas kita meneliti kembali video dan mengenal pasti gol tersebut tidak berpunca daripada kesilapan pemain, jadi ia sedikit-sebanyak menyuntik kembali kekuatan dalam skuad negara," jelas Roslan.

Menjelang aksi menentang New Zealand, Ayuni sekali lagi akan memikul tanggungjawab paling berat, namun Roslan mengharapkan dia lebih matang selepas pengalaman bertemu Belgium tempoh hari.

"Kita akan cuba mengurangkan gol yang akan dihasilkan pasukan New Zealand. Untuk Ayuni sendiri, dia perlu belajar untuk menerima tekanan daripada pasukan gergasi agar dia dapat menggunakan ilmu itu untuk kariernya pada masa akan datang," tambah Roslan.

New Zealand -- pasukan di tangga kelima dunia -- dijangka akan memberi cabaran sukar buat negara bagi perlawanan terakhir peringkat kumpulan.