Justin Rose menyamai rekod kejohanan apabila pemain nombor satu dunia itu mengekalkan penguasaannya dalam dua pusingan terakhir Kejohanan Golf Terbuka Farmers Insurance.

Pemain Inggeris itu menyamai rekod kejohanan 54 lubang dengan 69 pukulan untuk mengumpul 18 di bawah par di San Diego, California, hari ini.

Rose memiliki kelebihan tiga pukulan ke atas Adam Scott di Lapangan Golf Torrey Pines itu untuk mengatasi rekod Kyle Stanley yang dilakukan pada 2012.

Juara sembilan kali jelajah PGA itu memulakan aksi pusingan pertama dengan tiga birdie dan satu eagle untuk mengumpul lima di bawah par di lubang sembilan.

Namun, bogey berganda di lubang 14 serta bogey di lubang 18 menjejaskan catatannya tetapi Rose masih menamatkan pusingan itu di kedudukan teratas.

Scott, yang kali terakhir memenangi Jelajah PGA pada 2016, melonjak ke kedudukan kedua selepas melakar tujuh birdie dan satu eagle untuk catatan tujuh di bawah par 65 sementara Jon Rahm (68), ketinggalan satu pukulan di belakangnya.

Juara empat kali kejohanan utama dari Ireland Utara, Rory McIlroy, terikat di kedudukan keenam dengan catatan 11 di bawah par menjelang pusingan akhir kejohanan.

McIlroy, yang menamatkan aksi dengan dua bogey dan tujuh birdie, mengumpul 69 pukulan untuk mendaki tiga anak tangga dan berada sebaris dengan Billy Horschel (71), Hideki Matsuyama (73), Joel Dahmen (70) serta Hank Lebioda (68).

Juara bertahan, Jason Day, berkongsi kedudukan ke-16 bersama lima pemain lain selepas melakar tiga di bawah par 69.

Bekas pemain nombor satu dunia, Jordan Spieth, ketinggalan dua pukulan dengan tujuh di bawah par 72 berikutan triple bogey, dua bogey, satu eagle dan tiga birdie.

Sementara itu, juara tujuh kali, Tiger Woods, merakam satu di bawah par 71.

Ia hari yang sukar buat Woods selepas menamatkan pusingan itu dengan ketinggalan 13 pukulan berikutan tiga bogey dan empat birdie.