Bekas pemain kebangsaan, Rodhanizam Radzi, percaya kejayaan skuad projek khas wanita negara meraih tempat ke-11 dalam Piala Dunia Hoki Remaja 2022 merupakan satu pencapaian yang membanggakan di sebalik tempoh persiapan yang singkat dan tidak lengkap.

Kejayaan di Afrika Selatan itu juga membuktikan betapa besarnya potensi skuad berkenaan sekiranya program tersebut diteruskan dan dipupuk dengan perancangan yang betul.

"Ia satu keputusan yang baik dan membanggakan kami.

"Mereka meraih tempat ke-11 daripada 16 pasukan yang bertanding, tambahan pula mereka hanya menjalani persiapan singkat dan tidak lengkap.

"Dalam perlawanan pertama yang rata-rata dibarisi muka baru di peringkat antarabangsa, mereka kalah kepada Jerman tetapi selepas itu, tahap permainan mereka semakin baik.

"Dengan corak permainan, karakter yang ditunjukkan dan kita tahu ini adalah pasukan pembangunan bagi Sukan Asia 2026, nampak peningkatan dan hala tuju mereka jadi skuad hoki Malaysia ada masa depan," kata Rodhanizam.