Tiba di tanah air serentak bersama-sama ibu-bapa yang baru selesai menunaikan umrah adalah hadiah paling bermakna buat jaguh olahraga para negara, Muhammad Ridzuan Puzi, yang pulang dengan tiga pingat emas Sukan Para Asia 2018.

Ridzuan pada awalnya tidak menyangka kepulangannya semalam terus disambut ibu-bapa yang baru sahaja pulang daripada mengerjakan umrah.

Jelasnya, hadiah kejayaan dalam Sukan Para Asia kini sudah lengkap dengan kehadiran ibu-bapa yang dianggap menjadi kunci utama kepada semangat luar biasa Ridzuan di Indonesia.

"Ayah telefon cakap baru sahaja berlepas. Tetapi tak sangka penerbangan yang sama sebab rancang nak jumpa di Kampung Pandan. Tapi gembira dapat jumpa ayah, emak dan keluarga," kata Ridzuan.

"Ridzuan telah memberitahu akan berjumpa di Kampung Pandan tetapi saya bersyukur kerana dapat bertemunya di sini," kata bapa Ridzuan, Mohamad Puzi Mat.

Kontinjen para negara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam dan sambutan yang diberikan dianggap seperti mengimbas kembali sambutan luar biasa dua tahun lalu sempena kejayaan dalam Sukan Paralimpik Rio 2016.

"Saya akan berehat selama tiga minggu sebelum membuat persiapan menghadapi kejohanan pada tahun depan," kata atlet lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli.