Pemenang pingat emas pertama Malaysia dalam Sukan Paralimpik Rio, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, menceritakan bagaimana bintang Paralimpik negara, Allahyarham Mohammad Azlan Mat Lazim, menjadi inspirasi untuk dia meneruskan kesinambungan merealisasikan impian arwah menakluki pentas dunia.

"Pengalaman dulu bersama arwah, saya selalu menang perlumbaan masa latihan. Tetapi setiap kali pertandingan, arwah yang akan selalu menang," katanya.

Walaupun sekadar rakan sepelatih, Ridzuan mengakui hubungannya dengan arwah yang lebih muda itu umpama adik-beradik.

"Beliau dulu pernah beritahu kami seperti adik-beradik yang bergaul sama-sama sebagai rakan seperjuangan.

"Kami berdua macam sahabat baik walaupun beliau lebih muda daripada saya."

Mengakui menyimpan gambar arwah sebagai pembakar semangat, Ridzuan tekad merealisasikan segala impian yang mereka telah bincangkan dahulu.

"Saya masih lagi simpan gambar kami berdua. Itu saya jadikan sebagai satu semangat buat diri saya.

"Ayah arwah pernah beritahu saya, arwah sudah tiada, jadi saya kena jadi pengganti beliau. Sebelum perlumbaan, saya akan tengok gambar saya dengan arwah.

"Saya nak buktikan semangat arwah bersama saya dan menjadi azam bahawa saya boleh lakukan yang terbaik." katanya.

Azlan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada Januari tahun lalu.

Atlet paralimpik olahraga negara berkenaan merupakan pemenang tiga pingat emas Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.