Jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan, lega ujian terakhir bagi penentuan klasifikasi Ridzuan Puzi berjaya mengekalkannya dalam klasifikasi T36 bagi tempoh empat tahun lagi.

Selepas dua ujian hampir meletakkan Ridzuan dalam klasifikasi baru, iaitu T38, kebimbangan Jeganathan terhadap pelari harapannya itu terarah kepada misi mengekalkan emas dalam temasya Tokyo 2020.

Jika pertukaran klasifikasi T38 berlaku, Ridzuan berhadapan kesukaran untuk bersaing di peringkat tertinggi ekoran ranking namanya berada di kedudukan keempat Asia dan ke-16 dunia.

Menerusi ujian fizikal, kekuatan otot Ridzuan didapati semakin baik, menjadikan atlet itu perlu ditukar klasifikasi.

Namun, aksinya dalam Kejohanan Dunia IPC Dubai berjaya menyelamatkan Ridzuan untuk kekal dalam klasifikasi T36 apabila acara 400 meter T36/37/38 disudahkan dengan kedudukan ketujuh keseluruhan.

"Tidak boleh tidur dibuatnya... sebagai jurulatih berpengalaman, saya tahu otot dan sendinya sudah semakin kuat.

"Saya harap dia sekurang-kurangnya layak ke Sukan Olimpik 2020," kata jurulatih itu.

Dengan kelulusan ujian terbaru ini, Ridzuan akan kekal dalam klasifikasi T36 bagi tempoh empat tahun dengan sasaran mempertahankan pingat emas yang diraih dalam Rio 2016 adalah relevan.

"Dia perlu bangkit dalam Sukan Asia Indonesia (Ogos depan) dan mengatasi Yang Yifer dari China selepas mengecewakannya dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London, England, Julai lalu.

"Saya yakin dia boleh melakukan catatan bawah 12 saat di Indonesia nanti," tambahnya.