Skuad renang negara menutup saingan Sukan Para ASEAN Ke-9 dengan tiga lagi pingat emas sambil Anderson Anak Jamba mencuri tumpuan dengan memenangi dua daripadanya, termasuk meleburkan satu rekod temasya berusia 12 tahun di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Anderson mempamerkan kepantasan untuk memperbaharui rekod acara 150 meter rampaian individu klasifikasi SM4.

Menentang pencabar tunggal dari Thailand, Anderson, sedar dia lebih bertarung dengan diri sendiri untuk memenangi emas.

Catatan 3 minit 22.21 saat itu jauh memadam rekod perenang negara, Wong Chee Kin, dalam temasya Manila 2005 dengan kelebihan 26.8 saat.

Emas kedua Anderson pula hadir apabila dia mendominasi saingan kuak lentang S4.

"Pertandingan agak mudah selepas saya meraih emas pertama. Keyakinan saya meningkat selepas itu," katanya.

Satu lagi emas negara disumbangkan tonggak skuad negara, Fraidden Dawan, menerusi acara 200m rampaian individu.

Catatan 2:30.67s yang dilakukannya juga merupakan rekod baru Sukan Para ASEAN untuk menewaskan pencabar dari Myanmar dan Kemboja.

"Ini adalah emas keempat saya sejak emas dalam edisi Solo 2011.

"Saya sangat berpuas hati dengan pencapaian saya setakat ini," kata Fraidden.