Seperti sudah dijangka, perenang sensasi negara, Welson Sim, menamatkan saingan dengan pingat emas ketiga peribadi, kali ini menerusi acara 1500 meter gaya bebas lelaki dalam Kejohanan Renang Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Welson, yang diketahui tidak cergas untuk menghadapi saingan ini, membuktikan dia dalam kelas berbeza.

Ketika pemburuan rekod kejohanan dan kebangsaan dilihat sukar, Welson tetap memiliki kemampuan untuk pencapaian unggul di podium.

Permulaan kurang kemas dan kemudian disudahkan dengan renangan bertenaga pada 200m terakhir, menobatkannya sebagai juara dengan catatan 16 minit 18.35 saat.

"Ia adalah satu catatan yang baik tetapi oleh kerana ada masalah dengan bahu, saya sedikit lemah dan tidak boleh memberi tekanan.

"Walapun ia bukan acara kegemaran saya, saya mahu memberikan pingat untuk pasukan saya, Sarawak. Itu sebab utama," kata Welson sambil menyaksikan wakil Wilayah Persekutuan, Jun Bin Wong, meraih perak dan gangsa milik Venn Chieh Wong dari Sabah.

Dua lagi perenang kebangsaan, Wong Fu Kang (28.76s) yang mewakili Johor, dan Keith Lim (23.59s) untuk Wilayah Persekutuan turut menamatkan kempen dengan emas apabila masing-masing cemerlang dalam acara 50m kuak dada lelaki dan 50m gaya bebas lelaki.

"Saya berpuas hati dengan prestasi saya. Saya mahu melakukan 28.60s tetapi 28.76s juga adalah catatan yang baik.

"Memang saya mahu melakukan dengan lebih baik tetapi apabila berlumba, saya hanya fikirkan untuk melakukan yang terbaik," kata Fu Kang.

Pemenang pingat emas:

50m Gaya Bebas (L): Keith Lim (Sarawak)
50m Gaya Bebas (W): Stephanie Ai (Hong Kong)

50m Kuak Dada (L): Wong Fu Kang (Johor)
50m Kuak Dada (W): Rainbow Ip (H. Kong)

200m Kuak Kupu-Kupu (L): Sajan Prakash (India)
200m Kuak Kupu-Kupu (W): Kin Lok Chan (Hong Kong)

1500m Gaya Bebas (L): Welson Sim (Sarawak)
800m Gaya Bebas (W): Hoi Kui Lam (Hong Kong)