Atlet renang kebangsaan, Keith Lim, mempamerkan persembahan lebih baik dalam Terbuka Malaysia 2018 sambil mengakui ia masih belum memadai untuk menyerlah dalam Sukan Asia di Indonesia, Ogos nanti.

Seperti dijangka, Keith tidak mengalami kesukaran untuk menguasai acara 100 meter gaya bebas lelaki pada hari kedua Kejohanan Renang Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Dia, yang mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, melakukan 51.01 saat untuk meraih pingat emas bagi mengatasi catatan masa yang dilakukannya dalam Sukan Komanwel Gold Coast tempoh hari, iaitu 51.04s.

Tempat kedua milik atlet Hong Kong, Jeremy Wong Chen Ho, manakala gangsa dimenangi seorang lagi atlet kebangsaan, Chan Jie, yang mewakili Selangor.

Keith, bagaimanapun, mengakui perlu melakukan catatan di bawah 51 saat untuk mencerahkan lagi peluangnya ke Sukan Asia.

"Saya boleh katakan ia persembahan yang baik dan saya datang di tempat yang betul.

"Fokus saya adalah Sukan Asia yang akan datang. Saya tidak pasti (sasaran kelayakan) tetapi jalan selamatnya, saya mesti melakukan 51 saat dalam acara 100m gaya bebas," katanya.

Dalam pada itu, kehebatan perenang Hong Kong tidak dapat digugat Caroline Chan dalam acara 100m kuak lentang wanita.

Dia yang mewakili Selangor terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua dengan mencatat 1 minit 7.06s di belakang Stephanie Au Hoi Shun. Gangsa dimenangi Nessa Yip dengan catatan 1:7.70s.

"Kami kembali menjalani latihan tiga minggu lalu untuk pertandingan ini. Jadi, kami tidak cukup rehat.

"Saya sudah selesai acara terbaik saya dan selepas ini, saya hanya ada 50m gaya bebas dan 50m kuak kupu-kupu.

"Saya hanya akan cuba melakukan yang terbaik dalam dua acara itu," kata Caroline pula.


Keputusan lain:

400m Rampaian Individu (L) : Jordan Yip (Selangor)
400m Rampaian Individu (W) : Hoi Kiu Lam (H. Kong)

100m Gaya Bebas (L) : Keith Lim (Wilayah Persekutuan)
100m Gaya Bebas (W) : Camille Lily (Hong Kong)

200m Kuak Dada (L) : Ng Yi Hao (Selangor)
200m Kuak Dada (W) : Rainbow Ip (Hong Kong)

100m Kuak Lentang (L) : Tern Jian Han (Johor)
100m Kuak Lentang (W) : Stephanie Au (Hong Kong)

4x200m Gaya Bebas (L) : Hong Kong
4x200m Gaya Bebas (W) : Hong Kong