Atlet renang terbuka lelaki, Kevin Yeap, berkata keputusannya untuk mengundurkan diri sebaik memenangi pingat emas hari ini adalah untuk membuka ruang kepada muka baru di samping mahu memberikan tumpuan kepada bidang kejurulatihan.

Kevin turut menegaskan dia tidak pernah menyesali keputusan untuk beralih ke acara renang terbuka.

"Saya tidak kesal untuk beralih kepada acara renang terbuka. Saya percaya kalau saya kekal di kolam renang, peluang lebih tipis.

"Saya berterima kasih kepada Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dan barisan jurulatih kerana masih yakin terhadap kemampuan saya untuk bersaing dalam renang terbuka," katanya.

Perenang berusia 28 tahun itu -- yang memenangi pingat emas 400m gaya bebas pada edisi 2011 selain meraih gangsa dalam perlumbaan 10km renang terbuka -- turut mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan, Heidi Gan, yang banyak memberi tunjuk ajar.

"Dia banyak mengajar saya mengenai selok-belok renang terbuka ini. Dia berpesan agar saya lebih menumpukan perhatian kepada persembahan diri sendiri berbanding melihat kepada pencabar-pencabar.

"Dia turut berkongsi ilmu tentang cara berlumba, kelajuan, teknik dan cara anda berhubung dengan jurulatih semasa perlumbaan. Saya sudah bertekad untuk bersara selepas kejayaan ini.

"Keputusan ini telah dibuat sejak setahun yang lalu. Terima kasih kepada ASUM dan jurulatih kerana memberi saya peluang untuk menyumbang emas kepada negara.

"Mungkin selepas ini saya akan beralih ke bidang kejurulatihan," tambahnya.