Gan Hua Wei menghadiahkan emas keempat buat Malaysia selepas mengungguli acara renang seirama solo rutin teknikal dalam Sukan Sea Ke-29 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Hua Wei mencatat mata tertinggi dengan 73.8386, hanya 0.0133 meninggalkan pesaing terdekat dari Singapura, Debbie Soh Li Fei (73.8253) dan Miya Yong Hsing (72.3769).

Kakak kepada Hua Wei, Gan Zhen Yu, pula terpaksa berpuas hati di tempat keempat selepas mengumpul 70.0292 mata.

"Segala kerja keras saya membuahkan hasil. Saya mengucapkan terima kasih kepada jurulatih, rakan sepasukan dan kontinjen Malaysia yang memberikan sokongan kepada saya.

"Saya sangat gembira. Saya tidak menjangkakan kemenangan ini.

"Saya berharap dapat memberikan yang terbaik dan membutirkan pingat emas buat Malaysia dalam acara final duet (bersama Yhing Huey) esok," kata Hua Wei.

Untuk Malaysia, ia emas pertama dari kolam renang selepas Lee Yhing Huey meraih perak bagi acara renang seirama rutin bebas solo yang berlangsung petang tadi.