Pemanah compound negara, Zulfadhli Ruslan, tidak berasa kekok berlatih berseorangan tanpa dua rakan sepasukan, Juwaidi Zulkifli dan Lee Kin Lip, dalam persiapan menghadapi Kejohanan Memanah Dunia di Mexico, 15 Oktber depan.

Zulfadhli adalah antara tonggak yang menyumbang emas acara compound berpasukan bersama Juwaidi dan Kin Lip dalam Sukan SEA Kuala Lumpur bulan lalu.

Atas kejayaan yang membanggakan itu, Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) berhasrat menghantar skuad compound dan recurve menyertai Kejohanan Dunia.

Ia bakal menjadi penampilan sulung skuad compound dalam Kejohanan Dunia, namun ketika ini Zulfadhli dikhabarkan berlatih berseorangan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil memandangkan Juwaidi masih mempunyai komitmen di Melaka sementara Kin Lip kini berada di Sabah.

"Kebiasaan kalau berlatih berseorangan, saya akan meminta lebih banyak tunjuk ajar dan teguran daripada jurulatih.

"Jika berlatih beramai-ramai, agak susah mendapat peluang sebegitu," katanya.

Bagaimanapun, latihan Zulfadhli masih lagi di bawah pemantauan jurulatih negara, Muhammad Zaki Mahazan.

Juwaidi dan Kin Lip dijangka kembali menjalani latihan bersama-sama Zulfadhli di MSN dalam tempoh dua minggu lagi sebelum mereka berlepas ke Mexico pada 11 Oktober depan.

"Setakat ini, kami belum mendapat sasaran yang ditetapkan.

"Begitupun, secara peribadi, saya mahu mengatasi pencapaian terbaik atau cuba mengatasi rekod kebangsaan," kata Zulfadhli yang meraih catatan terbaik menerusi pungutan 234 mata untuk rekod kebangsaan yang dilakarnya bersama-sama Juwaidi dan Ahmad Syafiq Azim dalam Sukan Universiti ASEAN pada 2016.