Jaguh snuker negara, Thor Chuan Leong, mengelak daripada memikirkan untuk menyamai rekod lima kejuaraan milik Sam Cheong apabila berentap menentang Reza Hassan dalam final Kejohanan Snuker Kebangsaan, hari ini.

Sebaliknya Chuan Leong lebih mahu memperincikan permainan sendiri bagi mengelak tekanan seperti aksi separuh akhir semalam.

"Saya sangat gembira kerana sebelum perlawanan, saya rasa tertekan. Jadi, sekurang-kurangnya saya masuk ke final dan masih berada dalam saingan.

"Saya perlu meletak ke tepi soal rekod itu dan ia bukan satu masalah," katanya.

Menentang Lim Kok Leong, Chuan Leong tidak berupaya mendominasi saingan 11 frame terbaik sehingga dia mendahului kedudukan 3-2.

Hanya pada ketika itu dia kembali memperkemas pendekatan permainan untuk merampas tiga frame berikutnya dan menang 6-2.

Lawan Chuan Leong dalam final, Reza, juga berupaya menawarkan cabaran lebih sengit dalam membentuk rakan skuad kebangsaan.

"Ini final yang kelima, kalau tidak menang juga, tidak tahulah . Saya akan cuba yang terbaik untuk menang. Apa yang saya tidak mahu adalah saya tidak beraksi baik," kata Reza.

Menentang Sebastian Hng dalam separuh akhir semalam, Reza mempamer kebangkitan, termasuk memenangi dua frame terakhir yang mendebarkan.

Juga dengan kemenangan 6-2, Reza membawa momentum untuk ke sekian kalinya bagi mengelak kekecewaan dalam final.