Hari pertama Regatta Diraja Antarabangsa Langkawi (RLIR) 2017 kategori racing menyaksikan pasukan Emagine dari Australia mempamerkan belang untuk edisi tahun ini sementara pasukan Uranus dari Malaysia sekadar berpuas hati di tempat kelima keseluruhan di sekitar Pelabuhan Kuah, hari ini.

Bagaimanapun, perlumbaan terpaksa ditangguhkan selama hampir dua jam ekoran tiupan angin yang tidak kuat, hanya mencecah sekitar dua knot.

Perlumbaan pertama menyaksikan kecekapan krew Emagine untuk mengakhiri saingan dengan catatan 1 jam 13 minit 30 saat.

Namun, dalam perlumbaan kedua, momentum itu tidak dapat diteruskan apabila mereka menamatkan saingan di belakang pasukan Thailand, Tha 72.

"Di awal perlumbaan, angin bertiup dengan baik untuk perlumbaan. Kami berjaya memenangi perlumbaan pertama, sama seperti tahun lalu. Ia adalah permulaan yang baik buat kami," jelas jurumudi Emagine, Scott Bradley.

Sementara itu, wakil tunggal negara dalam kategori ini, Uranus, menghadapi kesukaran untuk bersaing dengan pasukan lain dan menamatkan saingan pada hari pertama di kedudukan kelima keseluruhan.

Perlumbaan pertama pasukan itu menamatkan saingan dengan catatan 1 jam 18 minit 33 saat manakala dalam perlumbaan kedua pula, mereka mencatat 42 minit 29 saat.

"Dalam perlumbaan pertama, kami berjaya mengakhiri saingan di tempat keempat, namun gagal memberikan saingan hebat kepada kelompok tiga terbaik," kata jurumudi Uranus, Hairunizam.