Biarpun dikemudi oleh jurumudi berbeza, pasukan negara, Uranus, tetap menyimpan azam untuk terus mencabar dalam saingan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi 2017.

Uranus sebelum ini sinonim dengan jurumudi, Mohd Masyuri Rahmat.

Masyuri mula membuat penampilan dalam saingan ini sejak tahun 2006 lagi dan menjadi jurumudi untuk pasukan Uranus pada 2010.

Namun, untuk edisi kali ini, Masyuri mengabil keputusan untuk beralih ke kategori sportboats dan menjadi jurumudi bagi pasukan Malaysia, Armed Force Team 1.

"Apa yang kita nampak, ada segi penambahan dari segi kelas sportboats.

"Sebelum ini, saya bermain untuk kelas perdana, racing, dan untuk tahun ini saya serahkan kepada pelapis kerana saya mahu beralih kepada kategori sportboats yang mempunyai lebih banyak pencabar.

"Untuk itu, saya berkesempatan untuk mengasah lagi bakat saya," kata Masyuri.

Bagi jurumudi pasukan Uranus ketika ini, Hairunizam Hat, dia dan krewnya berasakan edisi kali ini lebih mencabar kerana mereka bersaing dalam kategori perdana, iaitu racing.

Tidak seperti musim lalu, di mana mereka bertanding dalam kategori IRC dan memperolehi tempat kedua keseluruhan, misi itu agak sukar untuk diulangi memandangkan terdapat pasukan yang lebih hebat seperti juara bertahan edisi lalu, pasukan Oi dari Australia.

"Setiap tahun, kami ada sasaran dan sering menaiki podium.

"Tahun ini, kami menyasarkan untuk muncul sebagai tiga pasukan terbaik.

"Kadang-kadang tuah juga memainkan peranan asalkan kita berusaha," ujar Hairunizam.

Hari kedua saingan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi akan diteruskan dengan laluan Pelabuhan Kuah masih menjadi lokasi buat kesemua pasukan bertanding.