Pendatang baru dalam Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi 2017, THA 72, dinobatkan juara kategori racing selepas menampilkan penguasaan sepanjang lima hari perlumbaan.

THA 72, yang dikemudi Don Whitcraft, terus mendominasi pada hari terakhir perlumbaan apabila menamatkan saingan dengan catatan 1 jam 12 minit 55 saat.

Ini adalah kejayaan pertama pasukan dari Thailand itu dalam penyertaan mereka dalam saingan ini.

Tempat kedua pula menjadi milik pasukan Emagine dari Australia manakala pasukan Oi di tempat ketiga.

"Setiap hari, kami cuba meningkatkan prestasi. Setiap ahli pasukan memberikan usaha yang terbaik, kejayaan ini adalah hasil kerjasama berpasukan," ujar Whitcraft yang baru berusia 21 tahun.

Dalam saingan kelas sportboats pula, Royal Selangor Yacht Club (RSYC) membuat kejutan apabila memintas kedudukan pendahulu sebelum ini, Malaysia Armed Force Team 1, untuk muncul juara.

RSYC berjaya mengutip keseluruhan 18 mata daripada tujuh perlumbaan, manakala Malaysia Armed Force Team 1 di tempat kedua dengan 21 mata.

"Malaysia Armed Force Team 1 tidak dinafikan adalah sebuah pasukan yang bagus daripada segi taktikal dan teknikal.

"Ia pencapaian yang baik kerana kami dapat mendahului mereka hari ini sehingga perlumbaan tamat," kata penyelaras layar RSYC, Muhd Syafiq A. Rahim.