Kehadiran semula dua tonggak utama, Muhammad Razie Abd Rahim dan Nabil Fiqri Mohd Noor, menjadi pembakar semangat buat Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) untuk merampas takhta liga apabila berdepan Maybank, petang ini.

KLHC sedang bersaing sengit dengan pendahulu Liga Hoki Malaysia (LHM), Terengganu Hockey Team (THT), dalam perebutan takhta liga.

Skuad kendalian Muhammad Haron Al-Rashid Samri itu berkongsi 23 mata dengan THT selepas sembilan perlawanan, namun dipisahkan dengan jumlah jaringan.

Jadi tidak hairanlah, kehadiran Razie dan Nabil tiba tepat pada waktunya untuk membantu meledak seberapa banyak gol dalam lima baki perlawanan musim ini.

"Razie adalah pakar pukulan susut penalti dan dengan pakar bertaraf dunia sepertinya, ia akan meringankan beban pasukan untuk memburu jaringan.

"Kami akan menghadapi Maybank petang ini dan bagi kami, semua perlawanan ibarat aksi final kerana kami tidak mampu untuk keciciran mata lagi," ujarnya,

Dominasi KLHC semakin merosot sejak kebangkitan THT, tiga musim lalu.

Musim ini, KLHC sudah menjuarai Piala Sumbangsih sementara THT menjulang Piala Tan Sri P. Alagendra.