Penyerang Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Mohd Syamim Yusuf, menyifatkan jaringan tunggalnya ketika menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB), dalam separuh akhir pertama Piala TNB berpunca daripada persefahaman tinggi selepas tujuh tahun bergandingan dengan Muhammad Razie Abd Rahim.

Jaringan itu terhasil apabila dia bijak meramalkan hantaran Razie walaupun beraksi dalam situasi tertekan.

Ternyata, persefahamannya bersama Razie menjadi kunci untuk membantu KLHC meraih bekalan berharga menjelang aksi timbal balik, esok.

"Saya dan Razie memang sudah lama beraksi bersama-sama dalam KLHC.

"Kami memang sudah serasi dengan corak permainan masing-masing.

"Ini kerana kami sudah beraksi bersama selama tujuh tahun bersama KLHC.

"Jadi, saya dapat menghidu Razie pasti akan melorongkan bola di celah-celah pemain lawan," kata Syamim.

Apa yang menarik, Razie ditukarkan ke posisi penyerang ketika separuh akhir pertama.

Sentuhannya banyak membantu di bahagian serangan tetapi tidak dapat dipastikan adakah dia akan terus kekal di posisi yang sama atau kembali sebagai pertahanan kental.

"Kami perlukan gol untuk dibawa ke pertemuan kedua nanti, sebab itulah saya diletakkan di bahagian lebih tinggi membantu jentera serangan," ujar Razie.