“Alhamdulillah rezeki berpihak kepada kami, semua pemain menjalankan arahan jurulatih dengan baik.” itu reaksi kapten skuad hoki lelaki negara, Muhammad Razie Abdul Rahim.

Razie berkata demikian selepas Malaysia berjaya merakamkan kemenangan pertama di London dalam aksi separuh akhir Liga Hoki Dunia apabila menundukkan cabaran Korea Selatan 1-0, semalam.

Lebih manis, gol tunggal perlawanan itu dijaringkan oleh Razie sendiri dan pemain berusia 29 tahun itu berkata kunci kemenangan skuad negara adalah menggunakan sepenuhnya peluang yang ada untuk menjaringkan gol.

“Saya meletakkan sepenuh perhatian untuk perlawanan ini dan sedar apabila kami meraih pukulan sudut penalti, itu adalah peluang untuk menjaringkan gol.

“Kami dapati dalam dua perlawanan sebelum ini, kawalan kami terhadap lawan, terutama di penghujung perlawanan, agak goyah dan hari ini kami berjaya memperbaiki kelemahan itu,” ujarnya.

Sambil memuji semangat tinggi rakan sepasukan, terutama ketika bertahan pada penghujung perlawanan, Razie menyifatkan kejayaan ke atas Korea pasti akan memberi tonik baru buat semua pemain.

“Semua pemain mahu ke Piala Dunia dan kemenangan ini pastinya akan menaikkan moral seluruh pasukan,” katanya.