Ketajaman pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd Rahim akan diuji dalam aksi persahabatan menentang skuad pembangunan negara, esok, selepas hanya meledak empat gol ketika Malaysia muncul juara pusingan kedua Liga Hoki Dunia, bulan lalu.

Razie terlepas aksi persahabatan pertama ketika Malaysia menang 4-0, ke atas skuad pembangunan negara.

Kemampuan pemain pertahanan itu menjadi persoalan apabila dilihat tidak setajam beberapa tahun lalu ketika melaksanakan tanggungjawab itu.

Sehubungan itu, aksi persahabatan kedua nanti menjadi pengukur terhadap sentuhan pemusnah Razie.

"Perlawanan esok sangat penting untuk saya mengembalikan sentuhan. Perlawanan persahabatan sangat penting untuk mendapat keserasian bersama pemain-pemain lain," ujarnya.

Selain Razie, antara pemain lain yang mampu melaksanakan pukulan sudut penalti adalah Shahril Saabah, Najmi Farizal Jazlan, Faizal Saari dan Fitri Saari.

Aksi di Stadium Tun Razak itu juga akan memberi bayangan awal buat ketua jurulatih negara, Stephen Van Huizen, dalam membentuk barisan terbaik untuk menghadapi New Zealand pada 23 dan 24 April nanti, sebelum menyertai Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak.