Menjadi kelaziman setiap tahun di acara Raw pasca-WrestleMania. Ia sentiasa akan dipenuhi dengan kejutan dan menjadi sebuah episod yang amat menghiburkan.

Tidak ketinggalan di acara Raw pasca-Mania tahun ini, apabila beberapa pembaharuan dilakukan bagi mengekalkan momentum cemerlang yang telah dipersembahkan di acara Mania malam sebelumnya.

Pengerusi WWE, Vince McMahon muncul dengan membuat satu pengumuman penting. Seorang Pengurus Am baharu bagi Raw akan dilantik bagi menggantikan Mick Foley yang dipecat beberapa minggu lalu. Dengan memberi isyarat yang bakal penyandang jawatan ini adalah penerima anugerah Hall Of Fame tahun 2017, muncul mantan Pengurus Am Smackdown, Teddy Long yang menyangkakan jawatan tersebut adalah miliknya.

Namun Vince dengan tegas menyatakan bahawa bukan Teddy ialah individu dimaksudkan. Tanpa berlengah, Vince mengisytiharkan Kurt Angle adalah Pengurus Am baharu untuk Raw, dan berita tersebut disambut dengan penuh gegak gempita oleh seluruh penonton di arena.

Pengurus Am Raw yang baharu, Kurt Angle

Pelantikan Kurt dianggap tepat pada masanya kerana beliau memang telah dijangkakan akan diberi peranan penting di WWE pasca penerimaan anugerah Hall Of Fame. Dengan fizikal yang masih mantap, Kurt dilihat mampu menggalas tugas tersebut dengan baik dan tidak akan mudah dimanipulasi oleh Pesuruhjaya Raw, Stephanie McMahon sepertimana Mick Foley sebelum ini.

Dengan pengalaman sebagai Pengurus Am Smackdown ketika era pertengahan 2000 dulu, ia bukanlah satu tugas yang sukar buat Kurt yang telah 11 tahun meninggalkan syarikat Vince McMahon itu.
Selain mengumumkan tentang pelantikan Pengurus Am baharu, Vince turut mengumumkan yang akan berlangsung rombakan untuk senarai penggusti Raw dan SmackDown Live minggu hadapan. Ini sekaligus akan menyaksikan beberapa penggusti bakal bertukar jenama, seterusnya mampu menghasilkan sengketa dan aturan jalan cerita yang lebih segar untuk kedua jenama tersebut selepas ini.

Divisyen regu di Raw juga tampak semakin sengit. Dengan penyertaan pasangan ‘otai’ The Hardy Boyz yang berjaya bergelar Juara Regu Raw yang baharu di acara Wrestlemania pada Isnin, mereka membuat kemunculan pertama di Raw selepas 7 tahun dengan bertemu pasangan Gallows dan Anderson bagi perebutan kejuaraan tersebut. Matt dan Jeff berjaya mengekalkan rentak cemerlang dengan mempertahankan kejuaraan tersebut buat masa ini. Sorakan DELETE bergema daripada penonton sebagai meraikan cogan kata berharga karakter Broken Matt Hardy.



Bukan sahaja The Hardys, malah bekas Juara Regu NXT, The Revival turut membuat penampilan sulung di roster utama Raw semalam dengan menumpaskan The New Day. Penyertaan Scott Dawson dan Dash Wilder ke Raw pasti akan menghangatkan lagi persaingan divisyen regu Raw dan sudah tentu Kejuaraan Regu yang kini disandang Hardys akan menjadi sasaran bidikan mereka.

Xavier Woods menerima gerakan 'Shatter Machine' daripada The Revival

Kejutan terus berlaku di perlawanan kemuncak Raw semalam. Jadual asal sepatutnya menyaksikan pertembungan dua lawan dua antara Samoa Joe/Kevin Owens menentang Seth Rollins dan Chris Jericho. Namun malang berlaku apabila Y2J telah diserang hendap oleh Joe dan Owens semasa sedang ditemubual di belakang tabir dan menerima bantingan peledak ke atas meja, menyebabkan bekas Juara Amerika Syarikat ini tidak berupaya untuk beraksi.

Tugas getir pertama buat Pengurus Am baharu, Kurt Angle bermula apabila beliau terpaksa mencari pengganti untuk dipasangkan dengan Rollins. Ternyata Kurt membuat keputusan yang bijak dengan menamakan bekas Juara NXT dan Juara Universal pertama WWE, Finn Bálor sebagai pasangan Rollins.

Finn Bálor menghukum Kevin Owens dengan gerakan Coup de Grâce untuk memenangi perlawanan

Bálor yang telah berehat panjang sejak Ogos tahun lalu akibat kecederaan bahu membuat penampilan kembali dan serasi bergandingan dengan Rollins. Walaupun kedua mereka pernah bermusuhan seketika, namun demi mengekang kezaliman yang dicetuskan oleh Joe dan Owens, mereka mengenepikan segala sengketa dan kesumat yang pernah bersarang sebelum ini. Kesudahannya, Rollins dan Bálor gah sebagai pemenang dan dilihat bakal menjadi jaguh suka ramai utama di Raw selepas ini.

Dengan pelbagai kejutan telah diberi untuk Raw, apa pula yang bakal SmackDown Live hidangkan minggu ini? Adakah kita bakal menyaksikan penyertaan beberapa bintang baharu ke situ seperti Shinsuke Nakamura? Semuanya akan terjawab di acara SmackDown yang akan bersiaran di Astro Supersport 4 jam 10.00 malam pada Jumaat ini.

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network dan saksikan acara Wrestlemania 33 pada Isnin ini. Bukan itu sahaja, anda berpeluang memenangi pelbagai barangan eksklusif WWE. Layari Facebook Stadium Astro untuk maklumat lanjut.


Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.