Pemain boling padang para negara, Rattna Aizah Idris, mengakui perlu mengubah teknik balingan susulan acara boling padang diadakan di padang hoki untuk temasya Sukan Para Asia Jakarta 2018.

Itu merupakan cabaran utama kepada semua peserta yang bertanding apabila acara boling padang tidak diadakan di gelanggang sebenar.

Sebaliknya, ia diadakan di Stadium Hoki Gelora Bung Karno yang jelas memiliki permukaan padang yang berbeza.

Skuad negara, bagaimanapun, tampak sudah membiasakan diri menerusi sesi latihan yang diadakan di permukaan padang hoki sebelum ini.

"Permukaan padang bagi saingan Sukan Para Asia menyaksikan corak dan teknik balingan amat diperlukan untuk menampilkan persembahan yang cemerlang," kata Rattna.

"Skuad negara telah membiasakan diri berlatih di permukaan ini sebelum berlepas ke Indonesia."

Atlet boling padang para negara akan memulakan cabaran masing-masing esok dengan misi meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas dalam temasya kali ini.