Scott Redding berang dengan rakan sepasukannya dari Pramac Ducati, Danilo Petrucci, ekoran pemanduan agresif pelumba itu menjadi punca pelumba Britain itu terbabas pada awal perlumbaan.

Petrucci dan Redding mengalami perlanggaran memasuki selekoh ke-12 dalam pusingan pertama lalu menyebabkan pelumba Britain itu terpaksa bersara awal daripada perlumbaan.

Pelumba Itali itu, yang sebelum ini dikenakan denda hilang tiga kedudukan susulan perlanggaran dengan Eugene Laverty di Litar Red Bull, Ogos lalu, dikenakan penalti pandu lalu ekoran insiden tersebut.

Berang dengan situasi itu, Redding mengecam rakan sepasukannya itu yang tidak memohon maaf di akhir perlumbaan.

"Saya sangat kecewa kerana kami dari satu pasukan yang sama.

"Memasuki selekoh ketujuh, saya sedar dia akan bertindak agresif memasuki selekoh seterusnya, dan apabila kami tiba di selekoh ke-12, dia melanggar saya dan perlumbaan saya berakhir.

"Saya tidak puas hati kerana rakan sepasukan saya sendiri menyingkirkan saya. 'Fairing' jentera saya pecah dan saya mengalami kesakitan. Saya langsung tidak menjangkakan perkara itu.

"Kami pernah bersaing sengit sebelum ini tetapi ini bukan kali pertama ada pelumba mengadu dengan cara dia menyingkirkan pelumba lain dengan melanggar mereka.

"Dia dikenakan penalti, kali kedua musim ini, itu sahaja sudah membuktikan sesuatu. Saya memang tidak puas hati. Selepas itu, dia langsung tidak cuba meminta maaf, saya sudah hilang rasa hormat terhadapnya.

"Dia seorang yang baik tetapi kadang-kala dia tidak berakal."

Bagaimanapun, Petrucci mengakui dia menjadi punca terhadap perlanggaran itu dan bersimpati dengan pelumba berusia 23 tahun itu.

"Dia berhak berasa marah kerana saya menamatkan perlumbaannya," katanya.