Skuad ragbi lelaki 7's negara masih mengidamkan khidmat Zulkifle Azmi bagi menghadapi kejohanan tahun ini, antaranya Kejohanan Ragbi Trofi Asia 7s di Jakarta, Indonesia, dari 10 hingga 11 Ogos depan.

Pasukan negara menjuarai Kejohanan Ragbi Asia B-20 dua tahun berturut-turut pada 2011 dan 2012.

Setakat ini, hanya 15 daripada 16 pemain ragbi 7's telah menandatangani kontrak sebagai pemain sepenuh masa yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN).

Pengurus pasukan lelaki 7's, Ahmad Naim Ismail, menjelaskan tempat terakhir itu dikhaskan kepada Zulkifle dengan harapan dia akan kembali ke arena ragbi selepas selesai menjalani Kursus Inspektor Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama sembilan bulan.

"Kami masih mengharapkan dia dapat menyertai latihan kerana kami tidak boleh mengganggunya dalam tempoh tiga bulan pertama sepanjang dia menyertai kursus," katanya.

Pasukan 7's juga telah ditetapkan beberapa petunjuk prestasi utama (KPI) oleh MSN bagi menghadapi kempen tahun ini.

Pemain berusia 27 tahun itu turut membantu skuad kebangsaan mencipta sejarah muncul juara dalam Kejohanan Ragbi Asia Divisyen Satu pada 2017 dan meraih pingat emas buat julung kalinya dalam Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

"Kami akan kembali menjalani latihan hujung minggu ini sebagai persiapan untuk menawan Kejohanan Trofi Asia," katanya.