Skuad ragbi 7s lelaki negara berjaya memperbaiki kutipan pingat perak di Singapura dua tahun lalu dengan kejayaan meraih emas dalam final Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, hari ini.

Kecewa di tangan Filipina dalam final edisi 2015, skuad kendalian Mohd Saizul Hafifi Md Noor itu mempamerkan aksi mantap untuk menewaskan Singapura 22-7 dalam perebutan pingat emas.

Azwan Zuwairi bijak melepasi kawalan pihak lawan untuk melakar try pertama negara sebelum Singapura mendahului perlawanan menerusi try Nicholas Yau dan conversion yang disempurnakan Marah Moehammad.

Enggan mengalah, Malaysia kembali di depan, kali ini menerusi try Zulhisham Rasli pada minit kelima dengan Azwan melakukan conversion dengan kemas untuk menjadikan kedudukan 12-7 apabila tamat babak pertama.

Bermula babak kedua, Malaysia mula menjarakkan kedudukan 17-7 menerusi try ketiga hasil larian Nur Azri Azmi yang berjaya meloloskan diri selepas menerima hantaran Azwan.

Memasuki hujung perlawanan, Malaysia berjaya melakukan larian terakhir dan hasilnya, Nur Azri melengkapkan try kedua, sekaligus menghadiahkan kemenangan bermakna buat skuad negara.

Saizul turut mengucapkan terima kasih kepada anak buahnya yang berjuang habis-habisan bagi menghadirkan pingat emas buat negara.

"Saya mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada pemain saya yang banyak berkorban masa mereka.

"Saya amat berbangga kerana apa yang ditampilkan mereka amat berlainan sekali dalam perlawanan akhir ini berbanding aksi sebelum ini.

"Apa yang yang ditampilkan mereka dalam final ini adalah untuk rakyat Malaysia," jelas Saizul.

Dia turut melihat kejayaan ini sebagai satu langkah besar dalam pembangunan sukan ragbi tanah air.

"Ini satu permulaan yang besar sebab ragbi merupakan antara sukan yang semakin meningkat naik dan sudah mula diminati dan dimainkan di peringkat sekolah.

"Saya berharap kejayaan ini boleh meningkatkan bantuan atau apa sahaja yang diperlukan untuk meningkatkan lagi sukan ragbi di Malaysia," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, skuad ragbi 7s wanita turut melakar kejayaan apabila menewaskan Filpina 7-5 dalam perebutan pingat gangsa.

Meskipun Filipina sering kali melancarkan larian berbahaya, namun semangat juang tinggi yang dipamerkan skuad bimbingan Nik Safuan Ismade Nik Ma berjaya memastikan kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan.