PERAK 14 KUALA LUMPUR 7

Perak membuka kempen Piala Agong edisi ke-37 dengan baik apabila menumpaskan Kuala Lumpur 14-7 dalam saingan Divisyen Primier di Ipoh hari ini.


Dalam perlawanan di Stadium Ragbi Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu, tuan rumah memperoleh mata melalui dua try dan dua conversion.

Perak mendahului 7-0 selepas 22 minit melalui try Muhammad Aidid Abd Razak dan conversion Mohd Firdaus Mohd Zahed untuk mendahului sepanjang separuh mata pertama.

Tuan rumah, yang turut diperkuatkan tiga pemain import, meneruskan asakan dalam separuh masa kedua dan berhasil mengukuhkan kedudukan melalui try Muhd Muqri Dini Mohd Azizi dan conversion Mohd Firdaus untuk menambah mata.

Kuala Lumpur, yang turut membariskan pemain import, bagaimanapun, tidak menyerah mudah dan kesungguhan mereka berhasil apabila pemain gantian, Nor Haizzad Nor Rashit, melakukan try tunggal mereka.

Mohd Firdaus Abdul Manan melengkapkan conversion untuk merapatkan jurang kepada 7-14 tetapi gagal menggugat tuan rumah sehingga wisel penamat.