Pemain ragbi 15's negara, Marc Lee, menyambut perayaan Tahun Baru China secara sederhana tanpa keluarganya di Sydney, Australia.

Dalam perkongsiannya bersama Nadi Arena hari ini, Marc turut meluahkan hasratnya untuk pulang ke Malaysia selepas pandemik COVID-19 mula reda.

"Sambutan Tahun Baru Cina saya kali ini agak senyap. Kebiasannya kami akan mengadakan perhimpunan keluarga tetapi tahun ini, ibu saya masih berada di Kuala Lumpur manakala bapa dan adik-beradik saya pula berada di tempat lain.

"Saya berada di Sydney hanya bersama adik lelaki saya dan kami hanya mengadakan makan malam yang agak senyap.

"Sudah pasti (sebelum ini) kami ada makan-makan. Kami biasanya mengadakan rumah terbuka. Kebiasannya saya juga mengadakannya di rumah pasangan saya kerana dia mempunyai keluarga yang besar.

"Sudah pasti saya mahu kembali ke Malaysia. Saya sebenarnya ada perniagaan di sana yang dipanggi Academy 56. Kami mengadakan kem kecergasan tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, kami tidak dapat berlatih di luar bersama ahli kami.

"Saya harap dapat kembali ke sana untuk mewakili pasukan kebangsaan dalam masa terdekat," katanya.