Satu pendedahan tertinggi yang baik buat skuad ragbi tujuh sepasukan negara dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018 walaupun telah dijangka bakal sukar memberi saingan kepada pasukan berkelas dunia seperti juara bertahan, Afrika Selatan, serta Scotland dan Papua New Guinea.

Hanya mereka yang mengikuti perkembangan dunia ragbi sedar akan cabaran paling sukar yang dihadapi skuad kendalian Mohd Saizul Hafifi dalam mencipta sebarang kejutan di Gold Coast, terutama selepas ketiga-tiga pasukan berkenaan beraksi dalam Kejohanan Siri Ragbi Dunia Tujuh Sepasukan.

Cuma daripada aspek positif, jumlah mata kekalahan yang diterima pasukan negara tidak sebesar di Glasgow empat tahun lalu, yang menyaksikan mereka tewas dengan angka melebihi 50 mata di tangan Wales dan Samoa.

Kali ini, hanya keputusan 43-0 kepada Afrika Selatan dan 41-0 kepada Scotland dengan purata tujuh try diberikan kepada lawan, sebelum try tunggal dihasilkan pasukan negara melalui Mohd Firdaus Tarmizi dalam pertemuan dengan Papua New Guinea yang menyaksikan Malaysia tewas 31-5.

"Kami tahu akan berdepan tentangan daripada pasukan-pasukan bertaraf dunia tetapi mereka tetap berusaha untuk memberikan yang terbaik. Saya akui pemain-pemain menjadi semakin matang.

"Untuk Sukan Asia 2018, kami dapat mempersiapkan skuad yang terbaik," kata Saizul.

Saizul juga menambah jika mahu melihat perkembangan skuad ragbi tujuh sepasukan pantas berkembang, satu sasaran bagi memburu dua slot terbaik Asia perlu menjadi keutamaan kerana ia membolehkan pasukan negara dapat beraksi dalam Kejohanan Siri Ragbi Dunia Tujuh Sepasukan yang sering menjadi platform kepada pasukan berkelas dunia untuk beradu kekuatan.

"Malaysia perlu berada di kedudukan satu atau kedua Asia dan harus melalui satu lagi kejohanan yang diadakan di Hong Kong setiap tahun, yang dinamakan sebagai perlawanan kelayakan.

"Menyertai liga sebegitu pastinya banyak membantu kerana permainan kami sekarang membuatkan kami sukar menyaingi pasukan lebih besar. Pasukan Malaysia hanya beraksi di peringkat Asia Tenggara dan Asia tetapi hanya ada tiga kejohanan setiap tahun," ujarnya.

Ketua pasukan kebangsaan, Zulkiflee Azmi, menyifatkan pendedahan itu diharap mampu memberi sesuatu yang berguna kepada semua pemain dengan misi lagi besar untuk memburu pingat dalam Sukan Asia Jakarta 2018.

Dia juga menjelaskan bukan mudah untuk mendapat peluang sebegitu tatkala skuad ragbi tujuh sepasukan negara masih kerdil di peringkat antarabangsa.

"Saya beraksi di Glasgow 2014 dan prestasi pasukan di Gold Coast jauh berbeza kerana persiapan kami juga jauh lebih baik.

"Jadi, memang kami tahu tahap kami tidak menyamai tahap kebanyakan pasukan di sini tetapi kami tidak membenarkan mereka mengutip mata dengan mudah. Kami beraksi berhabis-habisan dan tidak mengaku kalah," ujar Zulkiflee.