Persoalan mengenai status jurulatih skuad Bunga Raya 15 sepasukan, Brad Mika, terjawab apabila Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mengesahkan kontraknya dilanjutkan untuk semusim lagi.

Timbalan Presiden KRM, Amir Amri Muhammad, berkongsi kepada wakil Astro Arena, Muiz Aziz, bahawa surat tawaran akan dikeluarkan secepat mungkin, selain pelan persiapan skuad itu.

"KRM telah bersetuju untuk sekali lagi memberi kepercayaan kepada Brad Mika sebagai jurulatih.

"Kami dalam persediaan untuk menyiapkan surat tawaran kepada beliau dalam masa terdekat ini.

Sebelum ini, status jurulatih dari New Zealand itu menjadi persoalan akibat penularan COVID-19 yang menyebabkan tiada sebarang kejohanan dapat dianjurkan untuk tempoh setahun lebih.




Bagaimanapun, baru-baru ini jadual Kejohanan Ragbi Asia (ARC) telah dikeluarkan dan skuad Bunga Raya bakal kembali beraksi hujung tahun ini.

Amir Amri juga berkongsi pelan persiapan buat skuad bunga raya yang bakal bermula September depan jika jurulatih itu menyambut tawaran yang diberikan.

"Perancangan kami sebelum ini ialah bermula September depan yang menyaksikan pemain akan melakukan ujian kecergasan dalam sesi pemilihan pertama.

"Sesi pemilihan kedua pula akan dibuat pada Oktober dengan mengatur perlawanan ujian selama seminggu. Latihan pusat akan diadakan bulan berikutnya.

"Latihan pusat terakhir akan bermula dari 1 Disember hingga 25 Januari. Kami akan buat gelembung sukan ini selama lapan minggu," kata Amir Amri dalam Nadi Arena.