Skuad ragbi tujuh sepasukan wanita negara menerima tamparan hebat apabila timbalan ketua pasukan, Maslina Ahmad Ismail, mengalami kecederaan yang mampu menjejaskan penampilannya dalam Sukan SEA Filipina, bulan depan.

Pasukan kebangsaan berjaya mencapai sasaran dengan mengalahkan Singapura dua kali ketika saingan Ragbi Asia Tujuh Sepasukan.

Bagaimanapun, dalam pertemuan saingan terakhir Ragbi Asia Tujuh Sepasukan di Sri Lanka, Malaysia dilanda musibah apabila Maslina dilanda kecederaan kaki yang mampu menjejaskan penampilannya di Filipina nanti.

"Kalau ikut maklumat daripada doktor, harapan untuk beraksi dalam Sukan SEA tipis. Jadi, kami menunggu dan melihat proses pemulihannya.

"Namun, insya-Allah kami akan ada pemain gantian dan diharapkan ia tidak menjadi kelemahan kami," kata pengendali skuad ragbi wanita negara, Nik Safuan Ismade Nik Man.

Bagaimanapun, jurulatih itu masih optimis pengganti Maslina mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain berpengalaman itu.

"Saya rasa ada pemain lain yang boleh diketengahkan untuk menggantikan tempat Maslina. Saya lihat mereka memiliki kelebihan yang sama dan pasukan terkini adalah antara yang terbaik," tambahnya.

Dalam Sukan SEA edisi ke-30, pasukan ragbi wanita Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Singapura dan Indonesia manakala Kumpulan A menyaksikan Thailand bersama Filipina dan Laos.