Perlawanan Perancis menentang Scotland dalam Kejohanan Ragbi Enam Negara akan diteruskan hujung minggu ini selepas ujian saringan kedua menunjukkan tiada sebarang pertambahan kes positif COVID-19 dalam skuad Les Blues itu.

Terdapat keraguan sama ada perlawanan pusingan ketiga di Stade de France itu akan diteruskan atau tidak susulan terdapat kes COVID-19 di kem Perancis.

Ketua pasukan, Charles Ollivon, dan scrum-half, Antoine Dupont dan Brice Dulin, antara yang diuji positif dalam pasukan tuan rumah itu manakala ketua jurulatih, Fabien Galthie, turut dikhuatiri dijangkiti virus berkenaan selepas mencatatkan kemenangan ke atas Ireland.

Persekutuan Ragbi Perancis semalam mendedahkan bahawa tiada lagi kes positif dan skuad itu kini dibenarkan meneruskan latihan berkeamatan tinggi.

Pendahulu kejohanan itu kemudian diberikan lampu hijau untuk memburu rekod tiga kemenangan daripada tiga perlawanan di Paris hujung minggu ini.

Satu kenyataan yang dikeluarkan pihak penganjur berkata: "Selepas satu mensyuarat Kumpulan Pengawasan Ujian (TOG) Kejohanan Enam Negara pagi ini untuk menilai keputusan ujian saringan terbaru pasukan Perancis, Kejohanan Enam Negara mengesahkan bahawa perlawanan Perancis dan Scotland akan berlangsung pada jadual asal, iaitu Ahad ini.

"Kami akan terus memantau rapat keadaan ini dengan kedua-dua persatuan."

Les Blues kini terikat sembilan mata dengan Wales, yang akan berdepan juara bertahan, England, di Stadium Principality, Sabtu ini.

Ireland pula akan bertemu Itali di Stadio Olimpico hujung minggu ini.