Sabah Eagles mencipta kejutan apabila berjaya menjuarai Kumpulan B, Kejohanan Ragbi Antarabangsa Borneo Tujuh Sebelah yang berlangsung di Padang Kelab Ragbi Eagles di Sandakan, hari ini.

Skuad kendalian bekas pemain All Blacks itu mencuri tumpuan apabila mengejutkan naib juara tahun lalu, Hong Kong, 14-12 dalam aksi pertama mereka.

Walaupun ketinggalan 5-14 sehingga ke penghujung permainan, Sabah Eagles bangkit untuk memenangi perlawanan itu menerusi percubaan penalti pada saat-saat akhir apabila pemain Hong Kong melakukan hadangan tidak dibenarkan terhadap pemain.

Selepas kemenangan itu, Sabah Eagles terus garang apabila membenam pasukan Malaysia 14-5, DBKL (12-7) dan Alabang Eagles (Filipina) 18-10.

Turut mengiringi Sabah Eagles ke pusingan kalah mati esok ialah Hong Kong, DBKL serta Malaysia.

Sementara itu, bagi aksi Kumpulan A, NZ Borneo Eagles menepati ramalan layak ke pusingan kalah mati walaupun gagal menjuarai kumpulan berkenaan.

NZ Borneo Eagles memulakan cabaran mereka dalam Kumpulan A dengan dua kemenangan, iaitu terhadap Singapura 60-0 dan Cobra (Kuala Lumpur) 57-0.

Bagaimanapun, pasukan yang dibarisi skuad pelapis New Zealand itu dikejutkan dengan kekalahan 14-36 kepada pasukan Tribe daripada Australia dalam aksi ketiga mereka.

Skuad kendalian bekas ketua pasukan All Blacks, Edwin Cocker, itu kemudian mengesahkan tempat mereka ke pusingan kalah mati apabila menewaskan Sri Lanka 35-12 dalam perlawanan terakhir mereka di peringkat kumpulan.

Sementara itu, selain NZ Borneo Eagles, tiga pasukan yang layak ke pusingan seterusnya dalam kumpulan A ialah Tribe 7s selaku juara kumpulan, Sri Lanka dan Singapura.