"Ada sebab mengapa kami jatuh."

Itu rintihan pemain boling tenpin kebangsaan, Rafiq Ismail, yang kurang menyerlah ketika saingan Sukan SEA 2019 sehingga menyaksikan skuad negara gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.

Sukan SEA di Filipina tahun lalu menyaksikan skuad negara kurang menyerlah apabila hanya mampu meraih dua pingat emas, kurang daripada jumlah empat yang ditetapkan.

Kini, Majlis Sukan Negara (MSN) mengadakan mesyuarat bedah siasat Sukan SEA Ke-30 bersama atlet dan ahli Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) bagi menyiasat punca kegagalan mereka.

Bagaimanapun, jaguh boling negara, Rafiq, menjelaskan terdapat punca tertentu yang menyebabkan mereka tidak mampu menyerlah dan mencapai sasaran temasya dwitahunan itu.

"Daripada segi pengetahuan tentang lane itu, ada sesetengah yang mempunyai perwatakan berbeza. Kami kurang sedar tentangnya dan itu antara faktor utama membuatkan kami jatuh," katanya.

Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok, juga mempertahankan barisan pemain yang beraksi di Filipina dengan menyatakan mereka sudah berjuang sehabis baik.

"Ia bukan satu kegagalan walaupun di atas kertas, kami tidak dapat mencapai sasaran. Kami ada dua emas tetapi dalam sasaran ada empat. Namun, prestasi di Filipina menyaksikan tiga acara berakhir di frame terakhir. Kami tamatkan permainan dulu, lakukan balingan sempurna," katanya.

Sementara itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan barisan pemain kebangsaan ketika Sukan SEA Filipina menerima pujian berganda ketika mesyuarat bedah siasat itu.

Ia disebabkan pencapaian skuad negara yang menakjubkan ketika saingan itu apabila meraih tiga emas sekali gus menjadi pencapaian terbaik Malaysia sejak lebih empat dekad.

"Bagi kami di BAM, kami memang amat berpuas hati dan gembira dengan keputusan di Filipina tetapi sedar bahawa walaupun ia amat memuaskan, masih banyak kerja perlu dilakukan untuk tingkatkan prestasi pemain," ujar Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.

Selain itu, beliau juga menjelaskan pembatalan saingan Terbuka Jerman yang mengejutkan tidak menjejaskan misi pemain negara mencari mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kenny juga menyatakan kejohanan Terbuka Malaysia yang bakal berlangsung 31 Mac depan tetap akan diteruskan dan penyertaan pasukan dari China tidak menjejaskan keselamatan negara.

"Kami akan dapat lebih banyak maklumat selepas mesyuarat, sama ada polisi ini ada pengecualian atau tidak. Jika atlet China tidak berada di sana dalam tempoh 14 hari terakhir, polisi ini masih melibatkan pemain itu. Kami akan tahu lebih lanjut."