Jaguh boling tenpin negara, Rafiq Ismail, berikrar bangkit daripada prestasi hambar dalam Terbuka Malaysia bulan lalu apabila bakal menghadapi tiga kejohanan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Rafiq terpaksa akur untuk mengakhiri Terbuka Malaysia di tempat ke-20.

Namun, tumpuannya kini lebih terarah kepada tiga kejohanan penting, iaitu Terbuka Singapura (dari 16-30 Jun), Jelajah Boling Tenpin Final Masters Eropah dan Cabaran Brunswick Madrid (bulan depan).

Selain perlu menyesuaikan diri dengan pertukaran lorong dan peralatan dalam setiap kejohanan, Rafiq dinasihati jurulatih supaya memperbaiki gaya balingannya yang pantas.

"Balingan pantas adalah kekuatan saya tetapi baru-baru ini, balingan perlahan pula yang lebih menyerlah.

"Saya perlu cuba memperlahankan balingan bagi mengatasi masalah-masalah sebelum ini," katanya.

Pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 itu berharap dapat mempamerkan prestasi cemerlang dan terpilih mewakili skuad kebangsaan dalam Sukan SEA Filipina 2019 dari 30 November hingga 11 Disember depan.

"Saya percaya untuk berada dalam kelompok empat pemain terbaik.

"Saya harap dapat melayakkan diri dalam kejohanan akan datang," katanya lagi.