Skuad gimnastik wanita negara menutup gelanggang dengan sembilan pingat emas daripada kem artistik dan gimrama selepas melakar pungutan mata tertinggi di Coliseum Memorial Rizal, Manila dalam saingan Sukan SEA Filipina, Sabtu lalu.

Pasukan wanita yang tediri daripada enam atlet, iaitu Chan Mei Thung, Eu Jia Xin, Koh Jei Yi, Lee Xin Yao, Lim Chyi Ean dan Shak Yuki meraih 40.050 mata, sekali gus mempertahankan emas yang dimenangi dalam edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Rachel Lau, bangga dengan aksi yang dipamerkan semua atlet apabila mereka berjaya mengatasi sasaran enam emas yang diletakkan.

"Sasaran ditetapkan adalah enam emas tetapi kami mencapai jumlah lapan dan dalam proses menjadikannya sembilan jika tiada sebarang masalah. Saya rasa saya teruja dengan saingan dan prestasi atlet," katanya.

Perak bagi acara senaman berpasukan dimenangi Thailand dengan 39.900 mata manakala Filipina meraih gangsa berbekalkan 29.150 mata.

Ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi, menjadi atlet gimnastik negara yang berjaya merangkul emas terbanyak hasil tiga kejayaan dilakar di Filipina secara keseluruhan.