Pemain skuasy wanita, Rachel Arnold, mengakui berdepan kesukaran bagi merangkul gelaran nombor satu negara dalam Kejohanan Skuasy Kebangsaan bulan depan.

Meskipun Rachel berada di ranking ke-47 dunia, dia menganggap S. Sivasangari, yang menghuni ranking ke-49 itu sebagai saingan hebat untuknya bergelar pemain wanita nombor satu negara.

Bagaimanapun, Rachel bertekad menggandakan usahanya membalas dendam apabila tewas dalam pusingan separuh akhir dalam kejohanan sama tahun lalu.

"Diharapkan saya dapat melakukannya dengan baik dan memang mahukannya. Jadi, lihat nanti," katanya.

Sementara itu, Rachel yang kecewa diketepikan dalam pusingan ketiga Kejohanan Individu Asia awal bulan lalu, mahu bangkit dalam saingan Terbuka Australia bulan depan.

Namun, dia tidak mahu terlalu memaksa diri untuk mencapai sasaran itu, sebaliknya hanya mahu menampilkan prestasi terbaik.

"Saya tidak mahu meletakkan jangkaan terlalu tinggi buat diri sendiri dan hanya mahu mengurangkan tekanan. Dalam latihan beberapa bulan terakhir, saya bekerja keras."