"Siapa Delia?"

Demikian seloroh Rachel Arnold yang kini memiliki kejuaraan dalam Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia berbanding kakaknya, Delia.

Rachel menjadi pemain wanita keempat dari Malaysia yang memenangi kejohanan itu selepas menumbangkan nombor satu negara, Low Wee Wern, dalam final di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, Ahad lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu sentiasa dalam bayang-bayang kakaknya yang sudah lama bersara dan kini menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan negara.

Bagaimanapun, pemain di ranking ke-43 dunia itu tidak pernah berkesempatan mencabar kejuaraan Terbuka Malaysia yang hanya dimenangi Datuk Nicol David, S. Sivasangari dan Wee Wern.

Hakikat itu menjadi sandaran semangat buat Rachel untuk meneruskan legasi kerjaya Delia.

Ahad lalu, angan-angannya itu menjadi realiti selepas menumbangkan rakan senegaranya itu dalam aksi lima set untuk akhirnya melengkapkan kebangkitannya daripada belenggu prestasi yang sejak sekian lama menghantuinya.

"Saya masih terkejut dengan keputusan perlawanan hujung minggu lalu tetapi saya gembira dengan keputusan itu.

"Saya gembira kakak saya tidak pernah memenanginya tetapi sebelum ini, kejohanan ini lebih prestij ekoran (tarikan) penajanya.

"Namun, saya gembira dapat memenanginya dan kakak mengucapkan tahniah. Saya tidak pasti mengenai pencapaiannya pada usia seperti saya. Namun bagi saya, prestasi saya semakin meningkat sejak tahun lalu.

"Saya fikir telah bermain dengan lebih baik ketika ini," katanya pagi tadi.